• 2025-09-02 08:32 PM

SEGAMAT: Punca rekahan tanah di sekitar sebuah rumah di Buloh Kasap belum dapat dipastikan mempunyai kaitan dengan kejadian gempa bumi lemah yang melanda daerah ini minggu lepas.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor Noorazhar Ngatimin berkata rekahan berkenaan berkemungkinan berpunca daripada gegaran namun ia belum dapat disahkan.

Beliau menjelaskan kawasan berkenaan mempunyai lapisan tanah yang lembut yang menyukarkan pengesahan punca sebenar.

“Ujian keberintangan yang dijalankan adalah lebih untuk mendapatkan data dengan cepat di kawasan bawah permukaan bagi profil dan lapisan batuan.”

“Kajian singkat yang dilakukan baru-baru ini hanya melibatkan profil 2D dan bukannya 3D serta hanya dapat mengesan sekadar kedalaman 30 hingga 35 meter sahaja.”

Noorazhar menekankan kajian gempa bumi biasanya dilakukan sehingga kedalaman 800 meter untuk mendapatkan data yang lebih tepat.

Pemeriksaan awal turut mengesan retakan di bawah permukaan namun tiada bukti menunjukkan rekahan berlaku pada lapisan keras yang melibatkan batuan.

JMG Johor juga tidak menganalisis gegaran atau membuat anggaran berhubung kemungkinan kejadian susulan selepas beberapa siri gegaran minggu lepas.

“Selain berkemungkinan akibat gegaran, rekahan yang berlaku di kawasan permukaan tanah ini boleh juga berpunca daripada cuaca yang terlampau panas dan kering.”

“Kebiasaannya rekahan seperti ini tidak melibatkan kawasan bawah permukaan,“ jelas Noorazhar.

Johor mempunyai enam alat seismometer yang berfungsi untuk merekodkan bacaan gegaran di lokasi strategik seluruh negeri.

Alat-alat tersebut terletak di Gelang Patah, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing.

“Terdapat kesukaran untuk membaca gegaran lemah kerana enam alat berkenaan hanya membaca gegaran berukuran 4.0 magnitud dan ke atas.”

“Ini kerana sekiranya kenderaan berat lalu di jalan raya juga menghasilkan gegaran,“ tambahnya.

Noorazhar bersama beberapa pegawai JMG Johor telah melakukan lawatan serta siasatan ke rumah penduduk di Batu 2, Jalan Buloh Kasap berikutan kejadian rekahan tersebut. – Bernama