GEORGE TOWN: Pusat Arkeologi Guar Kepah di Kepala Batas dekat sini akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai sebelum hujung tahun ini, dengan mengambil kira fasa pemindahan rangka dan artifak Guar Kepah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata projek tapak arkeologi Guar Kepah seluas 0.97 hektar itu telah siap sepenuhnya, tetapi masih menunggu rundingan pemulangan rangka manusia purba yang kini disimpan di Belanda.
“Jabatan Warisan Negara juga meminta kami menangguhkan pembukaan rasmi pusat ini kerana semua pecahan rangka manusia yang ditemukan dahulu kini disimpan rapi di Collection Centre Netherlands (CCNL) dan menjadi fokus utama dalam rundingan Malaysia dan Belanda secara kerajaan dengan kerajaan (G2G),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wong berkata beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Warisan Negara pada bulan ini bagi mendapatkan status terkini pemulangan artifak berkenaan.
Beliau berkata pemulangan rangka manusia purba itu sangat penting kerana ia satu daripada bahan arkeologi terpenting dan menjadi daya tarikan utama pusat itu apabila dibuka nanti.
“Kami sedang menunggu proses kelulusan dan dokumentasi lengkap daripada kedua-dua pihak, Jabatan Warisan Negara juga sedang mengendalikan rundingan rasmi dengan pihak Belanda bagi membolehkan rangka-rangka itu dibawa pulang ke tanah air.
“Selepas semua artifak itu dibawa pulang, baru kita akan buka pusat arkeologi itu kepada orang ramai yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Pusat Arkeologi Guar Kepah itu bakal menempatkan khazanah rangka manusia Guar Kepah dikenali sebagai ‘Penang Women’ berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan pada 2017, sebagai bahan pameran utama di pusat berkenaan.
Selain itu, 41 lagi rangka manusia yang dijumpai di Guar Kepah ketika ekskavasi P.V van Stein Callenfels pada 1936 yang kini disimpan di Leiden, Belanda sedang dalam usaha untuk dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia bagi membolehkan ia disimpan dan dipamerkan di pusat arkeologi itu.
Pusat itu dibina dua tingkat berkonsepkan ‘arkeologi, pendidikan dan pelancongan’ merangkumi ruang pameran interaktif, dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran dan kemudahan pengunjung seperti surau, tandas, kafe serta kiosk cenderamata.
Ia turut menempatkan sebuah ruang makmal penyelidikan, selain ruang simpanan artifak dan rangka turut disediakan sebagai pusat penyelidikan serta pemuliharaan rangka dan artifak arkeologi.
Pusat Arkeologi Guar Kepah adalah tapak Bukit Cengkerang Kepah yang mendedahkan bukti masyarakat prasejarah Neolitik di Pulau Pinang yang berusia sekitar 5,000 hingga 6,000 tahun.