MAKKAH: Pusat Operasi Keselamatan Kebangsaan Arab Saudi (NCSO) memberi jaminan bahawa semua panggilan kecemasan semasa musim haji tahun ini akan mendapat respons dalam masa kurang dua saat, selaras dengan penekanan terhadap kepantasan, kecekapan dan keselamatan.
Dengan lebih dua juta jemaah dijangka menunaikan ibadah haji tahun ini, Pusat Operasi Keselamatan Bersepadu (911) telah melancarkan pelan operasi komprehensif bagi menangani keperluan logistik dan keselamatan berskala besar sepanjang musim ibadah ini.
Menurut pegawai bertugas, pusat 911 telah membuat persiapan rapi sejak awal, termasuk menganalisis data panggilan musim haji terdahulu bagi menjangka jumlah panggilan yang akan diterima tahun ini.
Pendekatan proaktif ini membolehkan pusat itu menambah tenaga kerja serta mengatur pengambilan petugas tambahan bagi memastikan semua panggilan dijawab segera dan kualiti perkhidmatan kekal konsisten sepanjang tempoh puncak.
“Setiap panggilan ke talian 911 dijawab dalam masa kurang dua saat, dan dalam masa 45 saat, laporan akan dihantar kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut di lokasi,” kata jurucakap rasmi NCSO, Abdulaziz Z Al Ghamdi kepada media Malaysia semasa lawatan ke Pusat Operasi 911 di sini, Ahad.
Bernama dimaklumkan bahawa pusat itu dilengkapi sistem yang membolehkan panggilan diterima dalam semua bahasa dunia, bagi memastikan setiap jemaah - tanpa mengira kewarganegaraan atau bahasa - dapat menyampaikan maklumat mereka dengan berkesan.
Selain pusat panggilan, pusat operasi keselamatan turut memperkukuh pemantauan melalui CCTV.
Semua lokasi suci kini dipasang dengan kamera litar tertutup, membolehkan pemantauan secara masa nyata dijalankan. Sebaik sahaja sebarang insiden dikesan, laporan akan segera dihantar kepada pasukan lapangan untuk tindakan pantas.
Jurucakap berkenaan menegaskan bahawa gabungan pusat panggilan, sokongan pelbagai bahasa, pemantauan CCTV dan respons segera pasukan lapangan adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah.
“Seluruh perkhidmatan kami ditumpukan sepenuhnya bagi memastikan Tetamu Allah dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan selamat,” katanya.
Tahap kesiapsiagaan tinggi oleh Pusat Operasi Keselamatan Kebangsaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Arab Saudi dalam mengurus satu daripada perhimpunan tahunan terbesar dunia dengan penuh ketelitian, keprihatinan dan keterangkuman.