KUANTAN: Orang ramai yang ingin melancong ke Cameron Highlands dinasihatkan supaya merancang perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berikutan cuti sekolah ketika ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata pengunjung juga boleh mempertimbangkan untuk menyewa motosikal di destinasi percutian popular itu sebagai alternatif bagi memudahkan pergerakan.
“Peningkatan ketara jumlah kenderaan selain kekurangan tempat letak kereta serta pengunjung berhenti di bahu jalan bagi membeli barangan menjadi antara punca kejadian berkenaan.
“Kita dapati kesesakan sering berlaku di kawasan Kea Farm dan jalan Ringlet,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beberapa video tular di media sosial memaparkan pengunjung terperangkap lama dalam kesesakan lalu lintas ketika berada di pusat peranginan berkenaan.