• 2025-07-05 02:57 PM

KUCHING: Rang undang-undang untuk menambah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak akan dibentangkan pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Julai ini, susulan peningkatan ketara jumlah pengundi serta perubahan dalam jangkaan masyarakat terhadap wakil rakyat.

Yang Dipertua DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata peningkatan jumlah pengundi itu adalah hasil pelaksanaan Undi 18 yang telah merubah secara signifikan landskap politik dan kawasan pilihan raya di Sarawak sejak 2014.

“Perkara ini secara langsung meningkatkan harapan rakyat dan mencipta landskap politik baharu buat para pemimpin serta wakil rakyat. Saiz kawasan Parlimen dan DUN di Sarawak adalah luas dan semakin mencabar untuk diuruskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata rang undang-undang yang akan dibentangkan itu ialah Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025, dan akan dibawa oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya kesemua tiga bacaan rang undang-undang itu dijadualkan berlangsung pada hari yang sama.

Mohamad Asfia turut memaklumkan bahawa kali terakhir jumlah keanggotaan DUN Sarawak ditambah adalah pada 2014, dan selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan, pindaan sedemikian boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun.

Pada masa ini, DUN Sarawak mempunyai seramai 82 ADUN.