KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd akan memperkenalkan 13 zon baharu perkhidmatan Rapid KL On-Demand serta aplikasi tempahan terbaharu dikenali sebagai Rapid On-Demand bermula Isnin ini.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempahan melalui aplikasi itu bermula di 11 zon baharu yang berfungsi sebagai sambungan kepada laluan Transit Aliran Massa (MRT).

Zon yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand ialah MRT Semantan-KTM Segambut, MRT Bukit Dukung-Sungai Sekamat, MRT Sungai Buloh-Bandar Rahman Putra, MRT Serdang Raya Selatan-Taman Bukit Serdang, MRT Metro Prima-Taman Botani Kepong (FRIM) dan MRT Kentonmen-Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain itu, MRT Sungai Jernih-Taman Puncak Saujana, MRT Serdang Raya Utara-Pavilion Bukit Jalil, MRT Taman Equine-Lestari Perdana, MRT Metro Prima-Taman Bukit Maluri dan MRT Sri Delima-Sri Segambut.

Sementara itu, dua lagi zon baharu iaitu Kota Kemuning-Gamuda Walk Mall dan Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah-Alam Megah akan menggunakan aplikasi Kummute untuk tujuan tempahan.

Kenyataan itu menyebut zon-zon yang boleh ditempah melalui aplikasi Rapid On-Demand itu akan diperluas secara berperingkat bagi memberi kemudahan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Rapid Bus Sdn Bhd Amir Hamdan berkata pelaksanaan aplikasi Rapid On-Demand bertujuan memudahkan pengguna dan meningkatkan pengalaman pelanggan bukan sahaja dari segi kualiti perkhidmatan, tetapi juga kemudahan tempahan secara digital.

“Dengan inovasi ini yang menitikberatkan aspek lestari, responsif serta mesra pengguna, kami menyasarkan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama penduduk di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan itu.

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini meliputi 47 zon secara keseluruhan, menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam.

Bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini sebagai sambungan perjalanan “first-last mile”, tambang promosi RM1 bagi setiap perjalanan masih diteruskan.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my.