SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rasionalisasi subsidi RON95 yang akan dilaksanakan kelak tidak akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata rakyat seharusnya tidak mudah percaya dengan maklumat boleh diragui kesahihannya yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kerana rasionalisasi petrol itu dilaksanakan bukan untuk menyebabkan kebanyakan rakyat terjejas.
“Saya tidak fikir rakyat biasa perlu runsing sebab 85 hingga 90 peratus tidak terkesan, apa-apa pun kaedah yang diperkenalkan dalam isu rasionalisasi RON95 (nanti), jangan dengar fitnah.
“Umpamanya, apabila kita naikkan tarif elektrik, yang naik itu untuk orang kaya sahaja, begitu juga RON95 ... yang akan dikenakan adalah orang asing dan maha kaya, kalau pendapatan dia RM50,000 sebulan, bayarlah sedikit, tetapi umumnya ramai yang tidak akan terkesan,“ kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 sedang diperhalus yang akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan sistem MyKad.
Beliau berkata kerajaan tidak mahu membuat sebarang prapengumuman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada masa ini, dengan pengumuman itu dijangka dibuat selepas separuh pertama tahun ini.
Mengenai keputusan kerajaan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid, Perdana Menteri berkata ia telah dibincangkan dengan teliti selain kerajaan turut mengambil kira pelaksanaan di negara lain bagi menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Anwar berkata perkara yang mendapat persetujuan Kabinet itu sebenarnya sudah lama dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), namun tertangguh, justeru ia tidak seharusnya dijadikan polemik oleh mana-mana pihak.
“Bendera (lencana) itu kita beri percuma, lekat sahaja, banyak negara jiran sudah lama buat. Kita sudah fikir, bincang untuk laksanakan supaya anak-anak dari awal dididik untuk kasih kepada negara, itu sahaja,“ katanya.
Semalam, KPM dalam kenyataan memaklumkan akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan di bawah kelolaannya berkuat kuasa pada 21 April ini secara berperingkat.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang bertujuan menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.