KUALA LUMPUR: Penyerang naturalisasi Paulo Josue mengaitkan keputusan seri 1-1 dicatat Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde malam tadi dengan tempoh rehat yang panjang sebelum perlawanan dan latihan yang singkat.

Beliau berkata adalah sukar bagi mereka untuk mengembalikan kecergasan selepas sebulan tanpa sebarang perlawanan kompetitif iaitu sejak musim Liga Malaysia 2024/2025 berakhir pada akhir April lepas.

Lebih memburukkan keadaan, pemain Harimau Malaya hanya menjalani latihan 10 hari sebelum menghadapi Cape Verde yang berada di tangga ke-72 dunia, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

“Saya akui adalah sukar untuk bermain selepas 30 hari tanpa sebarang perlawanan. Kami hanya berlatih kira-kira 10 hari (kem latihan) sebelum turun untuk perlawanan yang mencabar ini. Namun, syukur semuanya berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan tersebut.

Dalam aksi malam tadi, Josue yang masuk sebagai pemain gantian muncul wira pasukan apabila mencipta gol penyamaan Malaysia pada minit ke-79, selepas Cape Verde terlebih dahulu membolosi gawang tuan rumah melalui jaringan Sidny Lopes Cabral pada minit kelapan.

Walaupun menghadapi masalah kecergasan, pemain tengah kelahiran Brazil berusia 36 tahun itu memuji usaha pasukan dan disiplin taktikal yang membolehkan Malaysia mengekang serangan agresif Cape Verde.

“Pasukan telah bermain dengan baik. Kami berjaya menyekat serangan agresif mereka dan menguasai bahagian tengah. Bermain dengan lima orang di pertahanan serta empat di bahagian tengah menyukarkan serangan lawan pada separuh masa pertama.

“Perubahan taktikal yang dibuat oleh jurulatih pada separuh masa kedua membuka peluang kami menjaringkan gol. Secara keseluruhan, ia adalah perlawanan yang bagus untuk menilai tahap pasukan pada masa ini,” katanya.

Malaysia akan menentang Cape Verde sekali lagi dalam perlawanan persahabatan yang bakal diadakan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini (3 Jun).

Dua perlawanan persahabatan menentang Cape Verde itu adalah sebagai persediaan Malaysia untuk berdepan Vietnam dalam perlawnan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.

Vietnam dan Malaysia kini berkongsi tempat teratas dengan mengumpul tiga mata selepas masing-masing menang perlawanan pembukaan.