JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki dihukum tujuh sebatan ringan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor anjing, bulan lepas.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Braden Yap Hong Sheng, 19, pada prosiding hukuman hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Yap selaku orang kena saman (OKS) dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun berserta ikat jamin RM10,000.

Pada Rabu lepas, Yap mengaku bersalah atas pertuduhan dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di hadapan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, pada 1.49 pagi, 27 Mac lepas.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kira-kira 12.30 tengah hari, 28 Mac lepas, doktor veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas seekor anjing dan mendapati haiwan itu berada dalam keadaan ketakutan serta terdapat kesan lebam dan terbakar di paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki telah memukul dan membakar anjing berkenaan.

Terdahulu, Che Wan Zaidi dalam penghakimannya berkata mahkamah memandang berat perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan selain turut mengambil kira faktor OKS adalah pesalah muda, kesalahan pertama kali dan telah insaf serta membuat pengakuan bersalah di peringkat awal.

Beliau berkata apa jua ancaman dilakukan oleh anjing berkenaan terhadap OKS, dia tidak sepatutnya bertindak kejam hanya kerana sakit hati, sebaliknya boleh membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan untuk tindakan diambil.

“Mahkamah melihat hukuman penjara tidak sesuai ke atas OKS, namun tanggungjawab mahkamah juga untuk memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam sebagai memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat supaya perbuatan ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Setiap yang bernyawa termasuk haiwan mempunyai hak asasi untuk dilindungi dengan undang-undang dan hidup aman damai,“ katanya dan menetapkan 21 Mei depan untuk pelaksanaan hukuman sebatan ringan itu terhadap OKS secara terbuka pada 9 pagi di Mahkamah Sesyen Jenayah 4.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor Mohd Zamri Shak @ Ishak, manakala peguam GK Sritharan mewakili OKS. - Bernama