• 2025-07-09 05:19 PM

KUANTAN: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Kuantan semalam telah ditemukan lemas pada tengah hari tadi.

Mayat Mohamad Isyraf Danish Razmi dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Mohd Adli Mat Daud, mengesahkan penemuan mayat itu pada pukul 12.40 tengah hari.

Operasi SAR melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Marin, serta bantuan orang awam.

Menurut laporan awal, mangsa dikatakan tergelincir ke dalam sungai ketika cuba menarik tali pancing yang tersekat.

Kejadian itu disaksikan tiga rakannya sebelum dia hilang dari pandangan.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau mengumumkan bantuan awal untuk kos pengebumian serta khidmat kaunseling jika diperlukan.

“Kerajaan negeri prihatin dengan kejadian ini dan akan memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa,“ kata Wan Rosdy selepas menziarahi keluarga di pekarangan Unit Perubatan Forensik HTAA. – Bernama