KUANTAN: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Paya Chedung, Maran Sabtu lepas ditemukan selamat di rumah rakannya di Seremban pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata pelajar perempuan tingkatan tiga itu berjaya dikesan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran pada 11 malam.
“Sebaik JSJ IPD Maran dapat maklumat kedudukan orang hilang ini pada 13 Nov berada di Seremban, pasukan terus ke sana dan mendapati mangsa berada dalam keadaan sihat. Dia bersama seorang rakannya yang berusia 18 tahun.
“Pasukan JSJ membawa balik remaja perempuan berkenaan kira-kira pukul 12.30 malam dan sampai ke rumah keluarganya dalam pukul 3.30 pagi. Ibu mangsa turut membuat laporan polis mengesahkan anaknya telah selamat kembali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Gimnasium dan Jamuan Deepavali Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang yang disempurnakan oleh Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Wong berkata remaja perempuan itu sebelum ini mengikut ibunya pernah cuba melarikan diri dari rumah sebanyak dua kali kerana terpengaruh dengan rakan, namun percubaan itu gagal kerana berjaya dihalang keluarga.
“Berdasarkan kenyataan ibunya, mangsa pernah cuba melarikan diri sebelum ini. Cuma kali ini, remaja perempuan ini berjaya melarikan diri. Kebanyakan kes hilang, biasanya kerana pengaruh kawan. Kalau tidak pun, disebabkan gaduh atau tidak bersefahaman dengan keluarga.
“Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi perhatian kepada perubahan sikap dan tabiat serta kawan-kawan anak mereka dengan meluangkan masa yang lebih untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Ini untuk mengelakkan berlakunya kejadian lari dari rumah,” katanya.