KOTA BHARU: Tempoh reman terhadap lima individu termasuk sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran pil kuda seberat 35.4 kilogram (kg) di Pasir Mas dan Tumpat, disambung mulai esok hingga 11 Julai ini.
Perintah sambung reman terhadap semua suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Azmi di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta merampas pil kuda seberat 35.4 kg bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di kedua-dua daerah berkenaan.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dilapor berkata pil kuda berkenaan disyaki untuk dipasarkan di seluruh Kelantan, Lembah Klang dan Johor Bahru, dengan sindiket menyasarkan pelajar dan remaja.
Modus operandi sindiket adalah menjadikan kandang lembu sebagai stor simpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.