KANGAR: Reman terhadap seorang penganggur yang ditahan bersama ganja seberat 16.6 kilogram (kg) bernilai RM51,646 di Padang Besar pada 22 Jan lepas disambung enam hari bermula esok bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Sarih Salleh berkata Majistret Mahkamah Kangar Nurshahida Abdul Rahim membenarkan tahanan reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu disambung selepas perintah remannya yang bermula 24 Jan berakhir hari ini.
“Reman terhadap lelaki ini disambung enam hari bermula esok hingga 5 Feb,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Selasa lepas, Bernama melaporkan lelaki itu ditahan bersama rampasan ganja itu ketika dia dipercayai sedang menghantar bekalan dadah berkenaan menerusi empat kotak ke sebuah syarikat kurier di Padang Besar.
Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas kotak itu menjumpai ketulan mampat serta cecair disyaki dadah jenis ganja dan lelaki itu dipercayai bertindak sebagai penghantar.
Lelaki itu dipercayai dibayar RM800 sebagai upah bagi sekali penghantaran dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.