KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada Khamis dalam persekitaran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2305/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2370 ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.47 peratus kepada 98.631 mata selepas data inflasi AS mencatatkan lebih rendah daripada jangkaan.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Mei sebanyak 2.4 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 2.5 peratus. Data IHP teras dicatatkan 2.8 peratus berbanding 2.9 peratus dalam tinjauan konsensus.

“Perbendaharaan AS jangka pendek merosot berikutan harapan terhadap penurunan kadar faedah semakin meningkat dengan hasil untuk tempoh dua tahun berkurangan tujuh mata asas kepada 3.95 peratus.

“Jangkaan terhadap penurunan kadar faedah dilihat akan menjadi tumpuan berikutan tempoh pengerusi semasa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan berakhir pada Mei tahun depan dan Presiden AS Donald Trump dijangka melantik ketua Fed yang selari dengan agendanya, iaitu melaksanakan pelonggaran dasar monetari seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya DXY dijangka berada di bawah 100 mata untuk suatu tempoh yang akan memberi manfaat kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.

Mohd Afzanizam turut menjangka ringgit diniagakan pada aliran meningkat dalam julat antara RM4.22 dan RM4.23.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9344/9415 daripada 2.9187/9207 pada Rabu, rendah berbanding pound kepada 5.7399/7535 daripada 5.7166/7200 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.8693/8808 daripada 4.8426/8454 sebelum ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 260.1/260.8 daripada 260.4/260.6 pada Rabu dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.59 daripada semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2953/3033 daripada 3.2925/2947 semalam dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9949/13.0333 daripada 12.9729/9870 sebelum ini.