SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan bersetuju membina semula jambatan gantung di Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir dengan peruntukan RM1 juta menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu diambil selepas melihat kepada keperluan yang mendesak, memandangkan laluan perhubungan itu amat penting kepada masyarakat setempat di kedua-dua daerah berkenaan.

“Langkah segera ini merupakan tindakan proaktif susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah bermula 30 Jun lepas.

“Mengikut perincian laporan yang diterima, kejadian itu menjejaskan kehidupan 485 penduduk di kedua-dua daerah dan Putatan,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri sesi taklimat kejadian bencana dan laporan kewangan Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berkata beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter yang mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.

Timbalan Perdana Menteri berkata kemudahan itu adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10 juta bagi menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara, Sabah adalah antara negeri terjejas.

Beliau berkata kemarau dilaporkan mula melanda pada dari Mac gingga pertengahan Mei lepas, dan kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di Sabah apabila tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil sepatutnya akibat kesan cuaca panas.

Susulan itu beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sabah pada akhir Mac lepas.

“Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya. Kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat Sabah mendepani situasi banjir dan kesan cuaca kemarau pada masa akan datang,” katanya.