• 2025-07-31 04:34 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasa golongan rentan seperti wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas melalui pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Fokus utama diberikan kepada pendidikan, latihan kemahiran, serta penyertaan dalam pasaran kerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan prihatin terhadap keperluan pendidikan bagi OKU.

“Hampir 171,000 kanak-kanak golongan ini, termasuk yang menghidap autisme, direkodkan mempunyai masalah pembelajaran setakat Jun 2025,“ katanya.

Inisiatif untuk memperluas fasiliti pendidikan khas akan diteruskan, termasuk pembinaan blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 34 sekolah sedia ada.

“Pembinaan sekolah baharu dengan kemudahan PPKI juga akan dilaksanakan,“ jelas Anwar semasa membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.

RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ merangkumi tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030.

Sokongan tambahan akan diberikan melalui program Akademi Dalam Industri dan Pelan Tindakan OKU Kebangsaan.

“Insentif kepada majikan juga disediakan bagi meningkatkan penyertaan warga emas, Orang Asli, dan OKU dalam pasaran kerja,“ kata Anwar.

Had umur persaraan wajib akan dikaji semula bagi menyesuaikan dengan peralihan negara ke arah populasi warga emas.

Agenda nasional KASIH Keluarga Negara turut diperkenalkan untuk memperkukuh institusi kekeluargaan.

“Ini termasuk peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung, dan pencari nafkah utama,“ ujarnya.

Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja, pusat penjagaan kanak-kanak berkualiti akan diperluas.

“Latihan bersesuaian turut disediakan untuk ibu yang mempunyai anak kecil,“ tambah Anwar.

Kerajaan juga akan memperkasa sektor ketiga untuk bekerjasama membantu golongan rentan.

“Sektor ini mampu menyediakan peluang keusahawanan, pekerjaan, dan latihan kemahiran yang lebih inklusif,“ jelasnya. – Bernama