KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) masih memberikan penekanan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) dengan matlamat untuk mengukuhkan kapasiti negara dalam teknologi berkenaan.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata RMK13 akan memfokuskan kepada pengembangan ekosistem AI melalui pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi serta memperluas aplikasi AI dalam sektor utama seperti perkhidmatan awam, pertanian pintar dan automasi industri.

“Usaha ini dipertingkatkan dengan tumpuan kepada pengembangan ekosistem AI yang lebih komprehensif. RMK13 menekankan inovasi berterusan dalam aplikasi AI termasuk pertanian pintar dan automasi industri serta memperkukuh kerjasama antara institusi awam dan sektor swasta.

“Ini menunjukkan kesinambungan dan pengembangan daripada inisiatif RMK12 dengan RMK13 bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju teknologi AI global melalui pelaburan strategik dan kolaborasi yang lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) ke-11 2024 bertemakan Data dan Kecerdasan Buatan: Memperkasa Masa Depan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Hanifah Hajar berkata melalui pelaksanaan dasar yang tersusun, kerajaan berjaya menarik pelaburan asing lebih besar dengan peningkatan 57.2 peratus berdasarkan jumlah pelaburan asing yang diluluskan oleh Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan pada 2023 termasuk pelaburan berkaitan AI.

“Manfaatnya, lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan yang akhirnya dapat meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta terdiri ahli statistik, akademik dan penyelidik dari pelbagai agensi menyertai persidangan MyStat kali ini, anjuran bersama Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia.

Persidangan bertujuan menyediakan platform untuk ahli statistik, penyelidik, akademik dan ekonomi serta pembuat dasar mengetengahkan idea baharu dan meningkatkan pemahaman bersama dalam bidang statistik.

Selain itu, ia dapat mewujudkan jalinan kerjasama dan rangkaian lebih baik untuk keberkesanan analisis serta penggubalan dasar kerajaan yang dibuat berdasarkan fakta.

MyStats ialah platform untuk mengumpulkan ahli statistik, pembuat dasar dan pengamal statistik terkenal yang memberikan pelbagai manfaat kepada komuniti statistik dan persidangan kali ini melibatkan dua sesi forum yang menghuraikan perihal gaji progresif serta dilema kehilangan pekerjaan.

Persidangan hari ini turut mengiktiraf sumbangan pengamal statistik melalui anugerah Mystats The Best Young Statistician Presenter, The Best Oral Presenter dan The Best Poster Presenter bagi menghargai dan mengiktiraf bakat golongan berkenaan dari segi penyelidikan serta penghasilan statistik berimpak tinggi.