SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan seorang lelaki daripada tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada 2019.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas meneliti dan menimbang hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap Mohd Zairil Mohd Zin, 51.

“Saya memutuskan rayuan ini ditolak, justeru keputusan diberikan Mahkamah Sesyen pada 23 Okt 2023 dikekalkan. Saya berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Sesyen dan tiada alasan untuk mengubah dapatan itu,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ala’udin Baharom manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Pekerja swasta itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Titi, Jelebu pada 21 hingga 22 Mac 2019.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh di penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan bertentangan dengan aturan luar tabii kanak-kanak perempuan berkenaan di rumah, lokasi dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Zairil menzahirkan kesyukurkan dengan keputusan mahkamah hari ini, serta dapat membersihkan namanya selepas beberapa tahun kes berjalan.