KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merompak wang tunai berjumlah RM1.1 juta milik seorang ahli perniagaan, empat tahun lepas.
Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu ke atas Koperal Hasrol Irmey Abu Hasim, 36, Koperal Muhammad Helmi Jamaluddin, 34, Amir Moktar, 47, dan Mohd Ridhwan Azman, 39, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan ke atas keempat-empat tertuduh,“ katanya yang memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.
Peguam Nur Azimul Azami Mohamad Nor, yang mewakili semua tertuduh, memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana berhasrat memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Hamidah kemudian memerintahkan peguam itu memfailkan permohonan rasmi kepada mahkamah.
Perbicaraan kes itu bermula pada Julai 2023 yang menyaksikan pendakwaan memanggil 35 saksi dan keempat-empat tertuduh memberi keterangan pada prosiding membela diri.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir manakala Nur Azimul Azami dibantu oleh peguam Lim Yoi Ping.
Mereka didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan membabitkan wang tunai berjumlah RM1,130,000 bersenjatakan pistol ke atas seorang lelaki berumur 26 tahun di tempat letak kereta sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin di sini pada 1.30 tengah hari 14 Dis 2021.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.