KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. RUU ini bertujuan melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil dan memastikan daya saing produk Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bacaan kali kedua akan turut dilakukan dalam sesi mesyuarat ini. RUU tersebut mengandungi 21 fasal bagi meminda Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504).
Pindaan ini bertujuan menambah baik rangka kerja perundangan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi mencegah amalan perdagangan tidak adil dalam konteks perdagangan antarabangsa di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Antara pindaan penting termasuk Fasal 3 yang meminda subseksyen 9(1) bagi menyelaraskan tempoh penyiasatan dengan Artikel 17.1 Perjanjian Subsidi dan Langkah Timbal Balas WTO. Fasal 4 pula membenarkan kerajaan menggantung penyiasatan jika menerima aku janji daripada anggota pengeksport untuk menghapuskan subsidi atau mengehadkan harga.
Fasal 5 memperuntukkan duti timbal balas tidak boleh dikenakan lebih lima tahun dari tarikh pengenaan atau penamatan kajian semula. Fasal 10 membolehkan kerajaan menggantung penyiasatan jika pengeksport bersetuju mengubah harga atau menghentikan eksport pada harga dilambak.
Fasal 11 pula menetapkan duti antilambakan tidak melebihi lima tahun dari tarikh pengenaan atau kajian semula terkini. Akta 504 kali terakhir dipinda pada 1 Disember 1999. - Bernama