KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dijadual dibentangkan di Parlimen Khamis ini bakal mewujudkan kerangka perundangan komprehensif bagi memastikan pembangunan semula bangunan usang di seluruh negara dilaksanakan secara teratur, selamat dan sistematik.
Ketua Pengarah PLANMalaysia Datuk Dr Alias Rameli berkata rang undang-undang yang dinantikan sejak 49 tahun itu mempunyai matlamat utama melindungi kepentingan penduduk asal dengan menjamin pemilikan unit baharu lebih luas, bernilai tinggi serta dilengkapi kemudahan moden tanpa sebarang kos tambahan.
Beliau berkata inisiatif itu amat diperlukan memandangkan data statistik menunjukkan 80 peratus bangunan di bandar utama negara telah melebihi 70 tahun, 75 peratus berusia lebih 30 tahun, manakala 51 peratus lagi dikategorikan sebagai terbiar atau tidak selamat.
“Ketidakhadiran rang undang-undang khusus selama ini menyebabkan proses pembangunan semula sukar dan tidak seragam, namun RUU PSB ini akan menyediakan hala tuju yang telus dan adil untuk semua pihak,“ katanya dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Alias berkata RUU PSB tidak akan mengubah keperluan persetujuan 100 peratus untuk penamatan hak milik strata seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.
Sebaliknya, rang undang-undang itu memperkenalkan mekanisme ‘Ambang Persetujuan’ baharu yang membolehkan proses rundingan pembangunan semula dimulakan dengan 75 peratus persetujuan bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 51 persetujuan untuk bangunan yang disahkan terbiar atau tidak selamat.
“Kerajaan mempunyai kuasa untuk melaksanakan pengambilan balik tanah secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.”
“Namun, pendekatan yang diambil melalui RUU PSB adalah untuk bekerjasama dan memujuk penduduk mencapai persetujuan secara sukarela demi manfaat bersama,“ katanya.
Alias berkata PLANMalaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berperanan sebagai mediator dan fasilitator bagi memastikan proses pemilihan pemaju dijalankan secara telus melalui tender terbuka dengan mengutamakan kepentingan penduduk.
Mengenai manfaat kepada penduduk, Alias menyenaraikan jaminan utama termasuk prinsip ‘Satu Ganti Satu’ yang memastikan setiap pemilik menerima unit kediaman baharu bersaiz lebih besar dengan nilai pasaran yang jauh lebih tinggi serta dilengkapi kemudahan moden.
“Prinsip ‘no less favourable’ yang kami amalkan menjamin penduduk mendapat kediaman jauh lebih baik.”
“Sebagai contoh, daripada unit asal 400 kaki persegi kepada rumah baharu 800-850 kaki persegi dengan nilai hartanah meningkat daripada RM70,000 kepada antara RM450,000 hingga RM500,000,“ katanya.
Beliau berkata pemaju juga diwajibkan menyediakan rumah transit dan elaun sewa kepada penduduk sepanjang tempoh pembinaan dengan status tanah seperti Tanah Rizab Melayu dan Pegangan Bebas dikekalkan.
Sesi taklimat khas untuk kesemua 222 Ahli Parlimen akan diadakan pada 25 Ogos ini bagi memberikan penerangan terperinci sebelum pembentangan RUU berkenaan di Parlimen. - Bernama