KOTA KINABALU: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada pergaduhan berlaku antara pelajar di asrama perempuan SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada malam kejadian melibatkan Zara Qairina Mahathir.
Pengawal keselamatan Linah Mansoding @ Jaliha turut menegaskan dia tidak mendengar sebarang bunyi kuat sepanjang bertugas pada malam itu.
Zara Qairina kemudian ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Linah memberikan keterangan tersebut ketika disoal peguam Joan Goh yang mewakili seorang remaja didakwa membuli si mati.
“Saya tidak dengar apa-apa bunyi kuat dan tidak dengar budak-budak bergaduh kerana bilik mereka semua sudah gelap,” katanya pada hari ketujuh prosiding inkues.
Saksi keenam itu menambah dia tidak pernah mendengar kes pukulan dalam kalangan pelajar asrama tersebut.
“Mereka cuma main-main sahaja dengan tiada kes pukul, hanya percakapan seperti ‘kau bodohlah’,” jelasnya.
Linah yang bertugas di sekolah sejak 2012 mengakui pernah mendengar kes kecurian membabitkan pelajar asrama.
Perkara tersebut biasanya diserahkan kepada guru atau pengawal keselamatan yang lain untuk tindakan.
“Saya tidak tahu sekiranya ada pelajar yang dikenakan tindakan disiplin berhubung kes curi dan seingat saya tiada,” katanya.
Linah juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengetahui dari tingkat mana Zara Qairina jatuh.
Dia turut menafikan pernah melihat tompokan darah di koridor tingkat satu, dua dan tiga bangunan asrama.
Saksi sebelumnya memberitahu mahkamah tompokan darah remaja itu masih boleh dilihat di lokasi kejadian dalam keadaan kering, keras dan bertukar hitam.
“Walaupun hujan berturut-turut selama dua hari bermula subuh pada hari kejadian, tompokan darah yang kering dan keras masih dapat dilihat sehingga hari ini,” katanya.
Linah menambah tempat Zara Qairina dikatakan jatuh itu berada atas simen dengan tompokan darah menjadi kering, keras dan hitam.
Mengimbau kenalannya dengan Zara Qairina, Linah berkata dia pertama kali nampak si mati melalui platform TikTok.
“Saya tegur dia dengan bertanya ‘kau punya TikTok kah ini’ dan dia membenarkan,” katanya.
Pertemuan kali kedua berlaku di tempat jemur pakaian apabila Linah menanya mengapa Zara Qairina berlari-lari pada tengah malam.
“Dia senyum sahaja dan bilang dia teman kawannya basuh kain,” kata Linah yang selesai memberi keterangannya hari ini.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan disambung semula pada Rabu depan.
Zara Qairina yang berusia 13 tahun merupakan pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha dan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth.
Dia dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya setelah ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan polis.
AGC juga mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina pada 8 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama