Your Title

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng membantah permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan pembayaran RM1.402 juta kepadanya dalam satu kes saman fitnah.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata jumlah penghakiman yang besar bukan keadaan khas untuk memohon penangguhan kerana Muhyiddin merupakan individu yang kaya dan memiliki banyak aset serta mampu membayarnya.

“Ini terbukti melalui pengisytiharan harta yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Defendan menduduki tempat pertama dalam senarai Pengisytiharan Aset Kabinet SPRM yang diterbitkan pada Julai 2020 dengan pendapatan bulanan berjumlah RM93,841.65 dan nilai besar aset yang dimiliki diisytiharkan antara RM10 juta hingga RM15 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam afidavit yang difailkan semalam bagi menjawab permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan pembayaran jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos RM50,000 dan alokatur RM2,000 sementara menunggu rayuannya didengar serta dilupuskan.

Justeru itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut memohon agar cadangan Muhyiddin untuk mendepositkan 50 peratus daripada jumlah penghakiman ditolak.

Lim berkata sebelum notis kebankrapan terhadap Muhyiddin difailkan, beliau telah memberi peluang kepada defendan untuk membayar jumlah penghakiman dengan memberi masa yang mencukupi dan munasabah iaitu kira-kira 10 hari.

Beliau juga berkata Muhyiddin, yang merupakan bekas Perdana Menteri dan ahli politik terkemuka di Malaysia, perlu menunjukkan contoh baik kepada seluruh negara dengan mematuhi serta menghormati keputusan mahkamah yang telah mendapati defendan memfitnahnya dan diarah membayar ganti rugi.

“Dalam kes ini, defendan mempunyai lebih daripada sebulan untuk mematuhi penghakiman

tersebut. Bagaimanapun, defendan hanya memilih untuk memfailkan permohonan ini selepas saya memberi peringatan terakhir kepadanya pada 4 Dis 2024.

“Walaupun diberi lebih daripada sebulan sejak tarikh penghakiman, defendan tidak menunjukkan sebarang usaha bahawa beliau sanggup mematuhi penghakiman mahkamah dengan mendepositkan jumlah penghakiman tersebut kepada saya atau membayar kepada akaun peguam,” katanya.

Muhyiddin memfailkan permohonan itu pada 9 Dis lepas atas alasan jumlah RM1.4 juta adalah besar serta beliau memerlukan masa untuk mengumpulnya dan beliau bersedia untuk mendepositkan 50 peratus daripada jumlah itu ke dalam akaun simpanan tetap yang akan dipegang oleh peguam Lim sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.

Lim telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin pada hari sama yang memohon defendan membayar RM1.402 juta seperti dituntut dalam penghakiman Mahkamah Tinggi dalam tempoh tujuh hari selepas penyampaian notis tersebut.

Permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan bayaran itu akan didengar pada 16 Dis ini di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain.

Pada 8 Nov lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Muhyiddin membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kepada Lim kerana menfitnah bekas Menteri Kewangan itu berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Pada 27 Mac 2023, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook membabitkan isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Lim turut mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenakan cukai serta penalti ke atas Yayasan Albukhary walaupun yayasan kebajikan itu diberi pengecualian.