BALIK PULAU: Polis menahan dua lelaki tempatan disyaki terlibat dengan kes samun seorang warga asing di Teluk Bahang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata tangkapan ke atas kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun itu dilakukan susulan laporan dibuat oleh mangsa pada pukul 2.06 pagi.

“Suspek ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah di Kuala Sungai Pinang dan di hadapan pondok pelayan Jalan Bangsal Rawai, Teluk Bahang.

“Berdasarkan laporan pengadu yang juga warga Pakistan itu memberitahu ketika kejadian, dia sedang memandu kenderaan pikap jenis Toyota Hilux milik syarikat untuk pulang ke rumah sebelum dihalang oleh sebuah motosikal di hadapan Pasar Teluk Bahang.

“Suspek dikatakan meminta pengadu menunjukkan lesen tetapi pengadu enggan. Suspek kemudiannya telah menumbuk pengadu dan merampas barangan miliknya berupa telefon bimbit, lesen dan wang tunai,” katanya di sini hari ini.

Kamarul berkata kejadian mengakibatkan pengadu mengalami bengkak di muka sebelah kiri selain hidung dan bibirnya berdarah serta sakit di paha sebelah kiri.

Beliau berkata setelah disoal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan barangan disamun ditemui semula hasil pandu arah oleh kedua-dua suspek.

Semakan mendapati suspek kedua memiliki lima rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala suspek pertama tiada sebarang rekod, tambah beliau.

Kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.