• 2025-07-29 03:16 PM

KUCHING: Pengurusan sekolah di Sarawak dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar bilik darjah bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada masalah kesihatan susulan keadaan berjerebu dan cuaca panas berterusan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, “Macam biasalah kalau jerebu, kalau kegiatan aktiviti di luar memang kita tidak digalakkan. Sebab dari segi kualiti udaranya, tidak selamat kerana berjerebu.”

Beliau menyarankan agar aktiviti luar kelas digantikan dengan aktiviti dalam bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada jerebu.

“Kita juga kena ambil langkah pencegahan dan berwaspada, kerana bacaan jerebu juga tinggi dan dapat hidu bau asap yang kuat semasa cuaca seperti ini,“ katanya.

Fatimah turut menekankan pentingnya pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sebelum sebarang aktiviti luar dijalankan. “Pihak sekolah juga diminta sentiasa memantau bacaan IPU sebelum membuat sebarang tindakan,“ jelasnya.

Laporan media tempatan menyatakan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana di semua 18 stesen pemantauan di Sarawak. Lundu mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 88, manakala Kuching kekal pada 74. - Bernama