BERA: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Sekretariat Muafakat Felda Pahang akan melakukan tapisan secara teliti bagi memilih bakal penerima 16,035 lot rumah di bawah Projek Skim Tanah Rakyat Felda (STRFP) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan mereka yang terpilih adalah yang benar-benar layak dan menepati syarat ditetapkan.

“Sebagaimana diarahkan oleh Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), semua proses memilih penerima lot rumah terdiri daripada generasi baharu Felda adalah dilaksanakan mengikut prosedur.

“Mereka perlu mengikuti beberapa langkah seperti mengisi borang, melalui proses penilaian sebelum diangkat ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri, jadi kita sudah ada sistem itu,“ katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur 2025 peringkat Bera di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak dekat Kemayan di sini semalam.

Menurut Amizar, berdasarkan penelitian pihaknya optimis bahawa mereka yang terpilih menepati piawaian ditetapkan selain mengelakkan berlakunya keciciran.

Beliau yang mengetuai Sekretariat Muafakat Felda Pahang berkata pihaknya sentiasa fokus untuk menjadikan sekretariat berkenaan sebagai pusat sehenti dalam kalangan warga Felda.

“Kita berharap Sekretariat Muafakat Felda Pahang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada para peneroka tetapi seluruh warga Felda termasuk generasi yang berada di dalam atau luar tanah rancangan itu,” katanya.

Amizar berkata bagi memudahkan warga Felda berurusan dengan pihak sekretariat, terdapat wakil dari setiap daerah yang akan dilantik dalam badan tersebut.