SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersedia berkongsi data yang dikumpul dan diperoleh menerusi aplikasi Selangkah bagi proses semak silang serta kemas kini maklumat rakyat negeri itu ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 3,712,616 maklumat atau data daripada 66,216 penerima skim subsidi dalam aplikasi yang dimiliki Selangkah Ventures Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri itu boleh dikongsikan dengan PADU, tertakluk kepada terma dan syarat penggunaan.

Beliau berkata data berkenaan merangkumi maklumat penerima skim bantuan kerajaan negeri antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Program Selangor Mental Sihat (Sehat), Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring) dan Insentif MamaKerja.

“Kerajaan negeri percaya, selepas ini akan lebih banyak data penerima bantuan di Selangor yang boleh dikongsikan dengan PADU dan secara tidak langsung akan membantu kerajaan pusat dalam aspek pembentukan atau pelaksanaan sesuatu dasar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Data antara aplikasi Selangkah dan PADU di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mewakili PADU, manakala Selangkah diwakili Ketua Pegawai Informasi Selangkah Ventures Sdn Bhd Dr Helmi Zakariah bagi menandatangani MoU berkenaan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata aplikasi Selangkah ketika ini memiliki kira-kira 3.87 juta pengguna aktif termasuk mereka yang tidak menerima subsidi dan bantuan program kerajaan Selangor.

Selain itu, beliau berkata proses perpindahan dan semak silang data antara Selangkah dan PADU dijangka selesai pada 19 April ini.

Beliau berkata sebanyak 1.89 juta iaitu 44.5 peratus penduduk Selangor berumur 18 tahun dan ke atas telah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU daripada 4.24 juta orang, iaitu jumlah yang disasarkan berbuat demikian.

“Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Jabatan Perangkaan Negeri Selangor bagi memastikan setiap penduduk berumur 18 tahun ke atas mendaftar dan mengemas kini PADU termasuk mengadakan promosi berterusan di samping pembukaan 3,221 kaunter fizikal di seluruh negeri mulai 2 Jan hingga 31 Mac lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata MoU berkenaan merupakan satu titik tolak besar bagi perkongsian data dan Selangor merupakan negeri pertama melakukannya.

“Kerjasama (perkongsian data) sedang berjalan dengan semua negeri, ia menggunakan kaedah kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan tidak dalam bentuk menandatangani MoU seperti dilaksanakan hari ini,” katanya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak 17.65 juta atau 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun berjaya dikemas kini dalam sistem PADU selepas pendaftaran ditutup pada 11.59 malam, 31 Mac.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image