• 2025-07-09 02:32 PM

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melancarkan lima strategi bersepadu bagi memastikan projek Selangor Aero Park (SAP) @KLIA Aeropolis berjaya menarik pelaburan asing berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata strategi pertama melibatkan penyediaan ekosistem bertaraf dunia dengan kehadiran syarikat utama seperti Airbus Helicopters, GE Aviation dan Spirit AeroSystems.

“Kami menyediakan ekosistem berfokus masa depan yang menggalakkan inovasi melalui akses kepada R&D, kemudahan khusus serta kerjasama dengan institusi akademik dan industri,“ katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ng menekankan SAP disokong sistem tadbir urus mesra pelabur bagi mempercepatkan proses penempatan syarikat dan pembangunan fizikal. Selain itu, program pembangunan bakat seperti Aerospace Talent Centre dan kerangka MyAERO diperkukuh untuk melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi.

SAP juga menawarkan kemudahan logistik bersepadu berdekatan KLIA dan infrastruktur R&D bagi memacu inovasi. Projek ini sejajar dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan dijangka mencipta 32,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

MBI dan MAHB sedang berunding dengan pemain industri global untuk mengukuhkan rantaian nilai aeroangkasa di Selangor, termasuk sektor ketepatan tinggi, MRO dan teknologi penerbangan. - Bernama