• 2025-08-04 12:37 PM

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melancarkan kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) sebagai platform utama pelaksanaan dasar kerajaan negeri serta penyelarasan kepada dasar Persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata RSTU diperkenalkan sebagai pemacu kepada pelaksanaan dasar melalui pendekatan pembaharuan sistem penyampaian yang lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.

Beliau berkata RSTU adalah antara usaha Selangor menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), di samping memperlihatkan isyarat pentadbiran negeri komited untuk berubah serta bergerak lebih jauh bersama rakyat dan masa hadapan.

“Selangor tidak boleh sekadar menjadi negeri yang maju dari segi angka. Kita mesti menjadi negeri maju dari segi sistem, budaya kerja dan integriti.

RSTU adalah wadah bersama untuk menjadikan jentera kerajaan kita lebih bersedia, lebih tangkas dan lebih dipercayai rakyat,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Tekad RSTU Selangor dan Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan RSTU berkenaan.

Ahmad Fadzli berkata RSTU akan digerakkan berasaskan lapan fokus strategik iaitu tadbir urus dan integriti, reformasi penyampaian, pemecahan budaya silo, reformasi aduan, modal insan berdaya, pemerkasaan akar umbi, pengukuran dan pemantauan program serta penilaian berasaskan hasil.

Pelaksanaan reformasi itu akan diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Yazid Sairi sebagai Chief Reform Officer (CRO) Selangor.

Pada majlis sama, Amirudin turut melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme dan komitmen penjawat awam Selangor sempena Bulan Kebangsaan dengan semangat reformasi serta Malaysia MADANI.

Jalur Gemilang turut diserahkan kepada sembilan pejabat daerah dan tanah (PDT) dan 12 pihak berkuasa tempatan di negeri ini. – Bernama