KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan menumpukan pembangunan sektor perkhidmatan bagi tempoh lima tahun ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ini termasuk pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi lebih tinggi di Selangor.

“Peralihan kepada sektor perkhidmatan berdasarkan dalam talian merupakan antara kunci utama yang harus ditumpukan pada masa depan bagi memacu ekonomi di Selangor dan Malaysia, amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panelis sesi ‘Dialog Khas Mengenai Destinasi Pelaburan Utama : Memanfaatkan Kekuatan Tempatan bagi Kemakmuran Serantau’ pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2024 di sini, hari ini.

Sesi dialog yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow itu membincangkan kekuatan kedua-dua negeri dalam menarik pelaburan masuk ke dalam negara.

Terdahulu, pada sesi itu Amirudin menggariskan beberapa keunikan Selangor yang mampu menarik pelaburan ke negeri itu, termasuk kedudukan di tengah-tengah Semenanjung Malaysia dan dilengkapi infrastruktur mega seperti lapangan terbang.

Kemudahan lain seperti pelabuhan laut dan jaringan lebuh raya selain pembangunan lebih banyak kawasan perindustrian yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonominya.

“Selangor juga melahirkan lebih 40,000 siswazah berpotensi daripada 150 institusi pengajian tinggi setiap tahun yang berupaya memenuhi keperluan industri.

“Polisi dan pentadbiran kerajaan Selangor yang tahan lasak dan tangkas juga antara keunikan negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang juga kerangka pembangunan negeri itu, dijangka meningkatkan kadar sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga 0.5 peratus pada masa akan datang.

Malah, ini terbukti apabila Selangor berjaya menyumbang 25.9 peratus KDNK dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus pada 2023, berbanding tahun sebelumnya.

“Sebelum RS-1 dibentangkan, sumbangan peningkatan KDNK hanya antara 0.2 hingga 0.3 peratus, tapi (selepas) dilancarkan, peratusan sumbangan (KDNK) meningkat hampir 0.5 peratus.

“Ini berikutan RS-1 lebih mendalam perancangannya, disokong dengan tenaga kerja dan infrastruktur dan kita yakin mampu sumbang RM500 bilion dalam beberapa tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata SABC berperanan sebagai platform penting untuk pemimpin ASEAN dan global membincangkan isu ekonomi penting, meneroka peluang perdagangan dan membentuk kerjasama strategik.

Dalam ucapan perasmian, beliau berkata SABC 2024 yang bermatlamat memajukan kejayaan dicapai sebelum ini iaitu menarik lebih 2,400 peserta dari semua 10 negara ASEAN dan kawasan lain.

“SABC mengetengahkan penglibatan rakyat dengan rakyat seperti pihak berkepentingan negeri dan sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan majlis perniagaan serantau seperti Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) dan Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC),“ katanya.