SHAH ALAM: Kerajaan Selangor kini sedang menunggu cadangan balas dan pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk pengusaha perniagaan rokok elektronik atau vape bagi memperhalusi cadangan pengharaman penjualan produk berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia adalah bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat kerajaan negeri tidak membebankan pengusaha dan pekerja, di samping mengetepikan kepentingan kesihatan awam.
“Pengusaha-pengusaha ini juga ada pekerja dan sebagainya, tetapi macam mana saya sebut prioriti kita adalah kesihatan awam dan juga kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Kita bimbang ada kesan-kesan lain seperti penyalahgunaan perisa mushroom atau ganja dikesan walaupun jumlahnya agak kecil.
“Justeru, satu kawalan akan dilaksanakan dan pihak Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaludin sedang menyiapkan kertas kerja dan masih meneliti lagi kertas kerja itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata segala pandangan membabitkan isu berkenaan sedang dikonkritkan bagi memastikan pelaksanaan garis panduan dasar itu adalah menyeluruh.
“Kalau di sesetengah negeri macam di Pantai Timur, dia tidak ada jiran yang dekat macam Selangor berdekatan dengan Kuala Lumpur.
“... maknanya kalau kita larang penjualan di sini, mereka masih boleh membeli di Kuala Lumpur, kalau Ampang dalam 15 minit mereka boleh sampai. Jadi, itu juga kita akan dilihat secara keseluruhan,” katanya.
Setakat ini negeri yang telah mengumumkan pengharaman penjualan rokok elektronik berkenaan adalah Perlis, Terengganu dan Kedah.
Pada majlis hari ini, Kerajaan Selangor menyumbangkan 10 motosikal elektrik berjumlah RM68,000 kepada Polis Selangor bagi memudahkan kerja-kerja kawalan keselamatan dan pencegahan jenayah.