PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penggunaan wang berjumlah RM11 juta dalam bentuk mata wang digital yang dipercayai hasil penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya melibatkan beberapa akaun individu dan syarikat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata wang berkenaan disyaki diperoleh daripada dana sukuk yang telah dibelanjakan dalam transaksi berbentuk digital dan kini dalam siasatan lanjut.
“Kita sedang mengesan bagaimana RM11 juta ini telah dikeluarkan dan dibelanjakan. Ia dipercayai ada kaitan dengan salah guna dana sukuk lebuh raya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti hubungan antara transaksi berkenaan dengan beberapa saksi lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Azam berkata sekurang-kurangnya 10 lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan yang masih aktif dijalankan.
Setakat ini, beliau berkata SPRM telah memanggil 55 individu untuk dirakam keterangan dengan sembilan tangkapan dilakukan.
Selain itu, penggeledahan turut dilaksanakan termasuk di kediaman suspek dengan 14 akaun individu serta lapan akaun syarikat dibekukan melibatkan jumlah keseluruhan mencecah RM156 juta.
Azam berkata siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta turut melibatkan aktiviti penyelewengan berkaitan penggunaan arak dan perjudian tidak berlesen, yang dianggarkan membabitkan dana berjumlah RM25 juta.
“Siasatan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan mungkin ada perkembangan lebih awal daripada itu. Kami akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.