KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas disyaki ditembak dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius manakala seorang lagi cedera ringan,“ katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Ku Mashariman berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup, mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terlibat.

“Tiada perkara yang perlu menggusarkan orang awam buat masa ini dan polis akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi polis atau balai berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya dan menambah kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.