SHAH ALAM: Kelab bola sepak Selangor FC (SFC) akan menulis surat kepada pihak polis bagi memohon dimaklumkan perkembangan kes serangan asid terhadap pemainnya Faisal Halim, kata peguam Mohd Haijan Omar.

Mohd Haijan yang mewakili SFC berkata pemain berasal dari Pulau Pinang berkenaan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut sejak lebih sebulan ditimpa kejadian malang itu.

Bagaimanapun, beliau percaya pada kredibiliti dan profesionalisme polis dalam menjalankan tugas untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan.

“Kanun Prosedur Jenayah membenarkan pengadu untuk dimaklumkan tentang perkembangan kes di bawah Seksyen 107A Kanun Prosedur Jenayah...seperti yang kita semua tahu kes ini telah berlarutan selama lebih sebulan dan kita berhak untuk diberitahu.

“Kami akan menulis secara rasmi kepada polis untuk mendapatkan perkembangan terkini kes dan polis mempunyai masa dua minggu untuk memaklumkan kepada kami, sama ada diberitahu kepada umum atau tidak, belum diputuskan, tetapi sudah tentu kami akan melakukan apa yang perlu,“ katanya semasa sidang media dan penampilan sulung pemain itu di khalayak umum selepas serangan tersebut.

Susulan kejadian pada 5 Mei lepas itu, Faisal Halim atau turut dikenali sebagai Mickey mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Pada 25 Mei lepas, SFC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden tersebut.