• 2025-06-26 07:22 AM

SHAH ALAM: Siasatan teknikal berkenaan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka selesai esok, seperti yang diumumkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis, memaklumkan bahawa laporan siasatan masih dalam proses penyediaan oleh pasukan penyiasat.

“Berkenaan siasatan kebakaran saluran paip gas Putra Heights, saya ingin maklumkan siasatan dijadualkan siap esok. Kemudian pasukan penyiasat akan menyiapkan laporan siasatan itu,“ katanya dalam kenyataan rasmi.

Beliau menambah bahawa maklumat lanjut mengenai pengumuman hasil siasatan akan dikongsikan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan laporan teknikal berhubung insiden pada 1 April lalu dijangka siap pada 26 Jun. Laporan tersebut akan diselaraskan dengan siasatan jenayah sebelum diumumkan kepada umum.