GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas sejumlah minyak masak, gula dan tepung bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM30,000 dalam serbuan ke atas dua kedai runcit di Bayan Lepas dekat sini, semalam.

Pengarah KPDN negeri S.Jegan berkata serbuan dilancarkan hasil maklumat dan risikan berhubung kegiatan kedai itu yang disyaki menjalankan operasi perniagaan tanpa memiliki lesen bagi menyimpan barang kawalan berjadual.

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata pihaknya telah merampas 300 kilogram (kg) minyak masak paket pelbagai jenama, 330kg gula pasir kasar, 40kg gula kasar premium dan 129 unit tepung gandum pelbagai jenama selain menyita sebuah pikap dalam serbuan itu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.