KUALA LUMPUR: Sebanyak 318 aduan direkodkan menerusi sistem MyHelp yang menjadi saluran pelaporan kes buli bagi warga Kementerian Kesihatan (KKM), sejak ia dilancarkan pada 1 Okt 2022.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, 72 aduan dikemukakan oleh pegawai perubatan dengan empat aduan dikenal pasti mempunyai unsur buli.

“Empat kes itu kini dalam peringkat siasatan untuk mengesahkan dan pembuktian,” katanya pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 dan 2022 bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata 68 aduan lagi merupakan aduan pelbagai isu berkaitan isu perkhidmatan, permohonan naik pangkat, pertukaran dan lain-lain, bagaimanapun beliau tidak menjelaskan aduan selebihnya.

Dzulkefly berkata bagi menjamin tata kelola setiap aduan yang dikemukakan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), sistem MyHelp diuruskan sepenuhnya oleh Unit Integriti KKM.

KKM katanya sedang dalam kajian untuk memperincikan lagi hak-hak dan perlindungan yang diberikan oleh pemberi maklumat bagi menjamin perlindungan kepada mereka.

“... ini kerana mereka selalu akan membuat aduan terhadap orang yang lebih senior,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sesi libat urus melalui program dialog turut diadakan supaya Pegawai Perubatan Siswazah dapat menyuarakan pandangan dan pengalaman yang dilalui mereka sepanjang bertugas.

Usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 dan 2022 itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 16 kementerian selesai menggulung perbahasan usul yang bermula Khamis.

Persidangan bersambung esok.