KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM160,000 kepada peguam dan aktivis Siti Kasim berikutan penangkapan dan penahanan tidak sah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2016.
Hakim Su Tiang Joo memutuskan bahawa RM100,000 dibayar sebagai ganti rugi teladan, RM60,000 sebagai ganti rugi teruk, dan RM100,000 untuk kos guaman.
Keputusan itu dibuat selepas Siti Kasim membuktikan bahawa beliau ditahan secara salah oleh pegawai JAWI selepas menghadiri majlis makan malam kutipan derma di sebuah hotel.
“Telah berlaku salah guna kuasa oleh penjawat awam apabila defendan menjalankan serbuan dan menahan seorang peserta dalam majlis anjuran kerajaan negeri tanpa memastikan kuasa yang digunakan itu sah di sisi undang-undang,“ kata hakim.
Siti Kasim memfailkan saman pada September 2019, mendakwa penahanan tidak sah dan pelanggaran hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa beliau tidak menghalang mana-mana pegawai dan hanya menjalankan tugas sebagai peguam.
Pada 2020, Mahkamah Majistret membebaskan beliau daripada pertuduhan menghalang penjawat awam kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. - Bernama