KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi agensi penguat kuasa pertama tampil sebagai rakan strategik penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Kerjasama itu diumumkan pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada Selasa lepas.
Pada majlis berkenaan, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Hisyam Mohd Yusoff mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyerahkan replika cek penajaan HAWANA kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang merasmikan acara itu.
Hisyam berkata penajaan itu sebagai tanda sokongan SPRM terhadap peranan penting agensi media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Penajaan sebagai rakan strategik ini menjadi tanda sokongan kepada agensi-agensi media atas sumbangan dan kerjasama mereka dalam menyebar maklumat penting kepada masyarakat.
“Insya-Allah, walaupun ini kali pertama SPRM menjadi rakan strategik, ia sebagai penanda aras untuk membuka ruang kerjasama yang lebih luas dan erat antara SPRM serta agensi media pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Sebanyak 79 agensi kerajaan dan swasta menjadi rakan strategik HAWANA 2025, antaranya Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Yayasan Inovasi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Balai Seni Negara.
HAWANA 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dijangka menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media tempatan, wakil persatuan wartawan serta media dari negara anggota ASEAN.
Majlis Kemuncak HAWANA 2025 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun ini.
HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk forum media, karnival serta pameran HAWANA di Sunway Putra Mall selama dua hari bermula 13 Jun.
Turut dijadualkan ialah acara sukan media yang menampilkan elemen tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak dan Johor sebagai sebahagian daripada usaha membina jaringan strategik dalam kalangan profesional media dan pakar industri.
HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran pertama pada 2018 adalah acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.