PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama keselamatan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA bagi memastikan kelancaran penganjuran 21st Principals Meeting of the ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini di Kuala Lumpur.
Menurut SPRM, mesyuarat berkenaan akan menghimpunkan ketua-ketua agensi antirasuah dari negara-negara ASEAN serta wakil organisasi antarabangsa, sekali gus menjadi platform penting memperkukuh jaringan strategik serantau dalam memerangi jenayah rasuah.
“Antara agenda utama persidangan ialah pembentangan dan pemuktamadan ASEAN-PAC Action Plan 2026–2029, sebagai kesinambungan kepada pelan tindakan 2023–2025. Pelan ini akan menjadi dokumen rujukan utama dalam memperkukuh hala tuju bersama ke arah integriti dan ketelusan serantau,“ menurut kenyataan itu.
SPRM turut memaklumkan beberapa program sampingan dirancang, termasuk sesi dialog interaktif dan bengkel pembangunan kapasiti yang menyasarkan pegawai penguat kuasa dari negara anggota ASEAN.
“Komitmen ASEAN-PAC juga selari dengan kehendak Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), sekali gus mengukuhkan usaha negara anggota dalam menggubal dasar serta undang-undang yang lebih ketat dan berkesan bagi menangani gejala rasuah,“ menurut SPRM
Pada 11 Jun lepas, Bahagian Keselamatan SPRM mengadakan kunjungan hormat strategik ke AKPS dan IPD KLIA sebagai langkah awal memperkukuh kerjasama keselamatan bagi penganjuran persidangan itu.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk penyelarasan kawalan keselamatan bagi ketibaan dan pergerakan delegasi, prosedur operasi standard (SOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta langkah keselamatan menyeluruh sepanjang persidangan berlangsung.