• 2025-07-07 07:57 PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai melebihi RM169 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dengan menamakan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dan Ismail Sabri sebagai responden.

Wang yang terlibat bukan sahaja dalam Ringgit Malaysia bernilai lebih RM14 juta tetapi juga melibatkan jutaan dolar dalam pelbagai mata wang asing.

SPRM memohon mahkamah mengeluarkan perintah melucut hak wang tersebut kepada Kerajaan Malaysia.

Antara jumlah yang dimohon untuk dilucut hak termasuk RM14,772,150, SGD6,132,350 (Dolar Singapura), USD1,461,400, CHF3 juta (Swiss Franc), EUR12,164,150, JPY363,000,000 (Yen), GBP50,250, NZD44,600, AED34,750,000 (Emirati Dirham), dan AUD352,850.

Permohonan ini dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas agensi itu berpuas hati bahawa wang tersebut adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengumumkan bahawa agensi itu akan memfailkan permohonan melucut hak harta rampasan bernilai RM170 juta.

Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil untuk sesi rakaman percakapan berhubung pengisytiharan hartanya kepada SPRM.

Selain wang tunai, SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai RM7 juta dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram. - Bernama