KOTA BHARU: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM14,000 daripada seorang kontraktor.

Menurut sumber SPRM suspek yang pernah bertugas di sebuah daerah di negeri ini ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Kelantan di sini hari ini.

“Pegawai terbabit disyaki menerima wang tunai dan pelbagai barangan berharga daripada seorang kontraktor,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu esok mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.