KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan, serta menjejak kewangan aset melibatkan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu diteruskan meskipun Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) pada Rabu lepas.

“Siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan.

“Siasatan turut melibatkan isteri Allahyarham Daim, iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Kadir serta ahli keluarga beliau, dan siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara,“ menurut kenyataan itu yang menambah penyelidikan jejak kewangan di luar negara giat dijalankan dengan kerjasama agensi antarabangsa.

Kenyataan media ini menurut SPRM, dikeluarkan bertujuan memperjelas dan membetulkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas serta mengelirukan di media serta media sosial berkaitan isu terbabit.

Sehubungan dengan itu, suruhanjaya berkenaan meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes terbabit dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Pada Feb 2023, SPRM membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemukan dalam Pandora Papers yang membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu dengan Daim menjadi Menteri Kewangan.

Berikutan itu, SPRM mengeluarkan notis kepada Daim pada 7 Jun 2023 yang menghendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Bagaimanapun, Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dengan yang terakhir pada 14 Nov 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset berkenaan.

Pada 29 Jan lepas, Daim didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir itu dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

Selepas bekas Menteri Kewangan itu meninggal dunia, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu telah melepas dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan berkenaan.

Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes terhadapnya.