• 2025-10-03 05:47 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyuarakan solidariti terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) pada Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 yang menghimpunkan perwakilan dari lebih 130 negara.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan dan bertindak menghentikan kekejaman yang masih berterusan dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Gala WSSF.

Sim menyatakan tanggungjawab melindungi rakyat dan memelihara maruah serta memastikan pekerja selamat.

Beliau turut terpanggil untuk menyuarakan mengenai keselamatan mereka yang terancam bukan kerana kemalangan tetapi kerana ditahan dan kebebasan dinafikan.

Tiga puluh empat rakyat Malaysia antara jiwa berani yang ditawan ketika melakukan misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Palestin.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia ditahan oleh pasukan Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.

Turut ditahan ialah Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad dari kapal Grande Blu serta penyanyi Zizi Kirana dari kapal Huga.

Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil ditahan dari kapal Alma manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli dari kapal Sirius.

Razali Awang ditahan dari kapal Inana dan pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) dari kapal Mikeno.

PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak ditahan dari kapal Estrella.

Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad ditahan dari kapal Fair Lady manakala Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif ditahan dari kapal Free Willy.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Sim merakamkan penghargaan kepada Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) kerana memilih Kuala Lumpur sebagai ibu negara keselamatan sosial dunia sepanjang minggu lepas.

Forum tersebut menyaksikan lebih 1,000 peserta berhimpun bagi merangka masa depan sistem perlindungan sosial global.

Beliau berharap Kuala Lumpur memberi ruang dan peluang kepada para perwakilan untuk mengadakan perbincangan yang berkesan.

Sim turut menyentuh mengenai kepentingan usaha untuk melindungi manusia dan mempertahankan maruah walau di mana jua berada.

Keputusan yang dibuat pada forum itu dijangka memberi kesan terhadap kehidupan berbilion manusia.

Beliau menegaskan bahawa maruah tidak dipertahankan dengan senjata atau bom sebaliknya menerusi dasar sosial yang berteraskan keyakinan.

Setiap insan berhak untuk memiliki kehidupan yang bermaruah tanpa mengira warna kulit, pegangan, atau keupayaan fizikal. – Bernama