BUTTERWORTH: Seorang peniaga kerugian puluhan ribu ringgit selepas stor menyimpan barang niaganya dan sebuah motosikal jenis Yamaha RXS 115 musnah dalam kebakaran selepas stor di Jalan Pekan Darat, Kampung Gelung Bubu di sini terbakar.
Dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semasa kejadian tiada sesiapa di stor tersebut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth Mohamad Noor Zahidi Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.55 tengah hari sebelum jentera dari balai itu terus ke lokasi kebakaran.
“Sebaik pihak bomba tiba api sedang marak dan 80 peratus stor berkeluasan 27.870 meter persegi yang dijadikan tempat menyimpan pelbagai barangan niaga sedang terbakar.
“Kebakaran itu memusnahkan kesemua barangan niaga dan sebuah motosikal di situ dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak dalam 15 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 2.30 petang,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama