Your Title

KUCHING: Sarawak sedia menjadi hos bersama untuk penganjuran Sukan SEA 2027 dan mencadangkan agar acara perasmian temasya sukan itu, diadakan di Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak juga, bersedia untuk berkongsi kos penganjuran Sukan SEA 2027 bersama Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan ada ‘merisik’ Sarawak untuk menjadi hos bersama (Sukan SEA 2027), kita dimaklumkan kos serta bajet penganjuran ini adalah besar dan apa yang dicadangkan agar Sarawak boleh membantu.

“Kita (Sarawak) kata boleh (bersedia), tetapi upacara perasmian kita cadangkan untuk diadakan di Sarawak dan penutupan di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 Bahagian Kuching di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti impak penganjuran Sukan SEA 2027 dan akan membentangkan keputusannya kepada Kabinet bulan depan, selepas Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022 sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran kepada Malaysia.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, dan kesemuanya berlangsung di Lembah Klang.

Sementara itu, Abang Johari berkata anggaran kos penganjuran Sukan SEA 2027 adalah kira-kira RM750 juta dan Sarawak bersedia membiayai separuh daripada jumlah tersebut.

“Kenapa kita sanggup? (untuk menjadi hos bersama) Kerana ini salah satu agenda untuk pembangunan bakat. Pembangunan bakat kita bukan hanya di bidang ekonomi semata-mata, tetapi juga di bidang sukan.

“Kita mahu orang muda kita cergas, sebab itu saya berani jadi hos bersama,” katanya.