ROMPIN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam khususnya rakyat Pahang untuk menghayati erti sebenar peristiwa Nuzul Quran, bagi melahirkan generasi Islam yang unggul dan sentiasa menjadikan kitab suci itu sebagai pedoman kehidupan.

Al-Sultan Abdullah bertitah penghayatan itu amat penting, apatah lagi kini umat Islam berada di ambang sebuah era yang begitu mencabar dengan pelbagai bentuk ancaman, dalam bentuk pemikiran, akidah mahupun budaya.

Baginda bertitah sekiranya umat Islam hari ini tidak berpaut teguh pada ajaran al-Quran dan Sunnah, pastinya akan mudah hanyut dalam arus globalisasi yang sentiasa menggugat jati diri masyarakat Islam.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati satu hakikat yang tidak boleh kita persiakan bahawa generasi Islam yang unggul hanya akan lahir apabila mereka dididik dan diasuh dengan roh al-Quran.

“Generasi inilah yang kita dambakan, Jilul Quran - generasi pewaris al-Quran yang akrab dengan wahyu Ilahi, menjadikan kalamullah sebagai pegangan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan mereka,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran, Perasmian Masjid Baharu Kampung Sungai Puteri, di sini hari ini. Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan, sekiranya jiwa umat Islam diperkukuh dengan roh al-Quran, apa sahaja ancaman terhadap akidah dan kepercayaan seseorang itu tidak akan mampu menggugat keimanan walaupun sebesar zarah sekali pun.

“Sejarah telah membuktikan, tamadun Islam yang gemilang lahir daripada generasi yang mendakap al-Quran, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Namun, hari ini kita melihat sebahagian besar umat Islam semakin menjauh daripada kitab sucinya.

“Kita dihidangkan dengan budaya asing yang melampau dan songsang. Janganlan kita terikut-ikut, janganlah kita menjadi bangsa yang buta terhadap sejarah dan pengajaran, kembalilah kepada al-Quran,” titah baginda.