KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menziarahi pusara Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini.
Baginda berdua berangkat tiba pada 9.30 pagi juga menyertai bacaan tahlil dan doa dipimpin Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, selain turut menabur bunga dan menyiram air mawar di pusara Allahyarham Tun Abdullah.
Turut hadir ialah anak bekas Perdana Menteri itu Tan Sri Kamaluddin dan Nori, serta suaminya Khairy Jamaluddin.
Selain itu, baginda berdua turut menziarahi pusara Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn dan Timbalan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang turut disemadikan di Makam Pahlawan.
Baginda berdua meluangkan masa kira-kira sejam di Makam Pahlawan sebelum berangkat pulang pada 10.30 pagi.
Allahyarham Tun Abdullah disemadikan di Makam Pahlawan pada 15 April mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Tun Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, meninggal dunia pada 7.10 malam 14 April, pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN).