SEREMBAN: Surau MADANI Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan) diisytiharkan sebagai surau pertama di lebuh raya mendapat kelulusan mendirikan solat Jumaat bermula minggu ini.
Mufti Negeri Sembilan Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata pengisytiharan itu memudahkan pengguna lebuh raya khususnya pekerja di kawasan R&R berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat di lokasi lebih dekat dan selesa.
Beliau berkata inisiatif PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membina surau berkenaan dapat menampung hampir 150 jemaah lelaki.
“Kita mengharapkan menerusi usaha ini, masyarakat Islam dapat meningkatkan hubungan mereka dengan Allah dan melaksanakan ibadat diwajibkan dalam agama.
“Sebelum kebenaran diberikan, saya secara peribadi bertanya kepada sebahagian pekerja di sini, di mana mereka solat Jumaat. Antara jawapan diberikan adalah mereka tidak pergi solat Jumaat kerana kekangan masa dan jarak lokasi masjid yang jauh,“ katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan kelulusan mendirikan solat Jumaat di Surau MADANI R&R Seremban (arah Selatan) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Sementara itu, Zakaria berkata projek Surau MADANI ini adalah usaha berterusan PLUS untuk menambah baik mutu perkhidmatan dengan menyediakan kemudahan beribadah selesa serta membina ekosistem lebuh raya mesra pengguna, lestari dan menyokong kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau berkata objektif utama inisiatif adalah menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban.
Zakaria berkata surau berkenaan dibina dengan reka bentuk yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, termasuk kemudahan bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas, agar mereka dapat menikmati pengalaman ibadah lebih baik.
“Sebagai persediaan menunaikan solat Jumaat, surau ini telah menjalani proses naik taraf meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau MADANI R&R Seremban (arah Selatan),“ katanya.