Your Title

KUANTAN: Seorang suri rumah mengalami kerugian RM160,000 setelah terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 67 tahun itu pada mulanya telah tertarik dengan pelaburan berkenaan yang dilihatnya menerusi aplikasi YouTube pada 8 Dis 2024.

Beliau berkata wanita itu kemudian dijanjikan pulangan lumayan selain menerima keuntungan setiap hari bagi pelaburan yang dilakukan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah memasukkan wang simpanannya berjumlah RM160,000 dengan tiga kali transaksi ke dua akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Bagaimanapun, dia mula menyedari ditipu setelah suspek memintanya membuat pembayaran lagi bagi menebus keuntungan yang diterima sebanyak RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, Yahaya memaklumkan seorang suri rumah berusia 57 tahun mendakwa mengalami kerugian dianggarkan RM137,500 akibat dipukau selepas didatangi tiga wanita tidak dikenali di sini semalam, yang bertanyakan alamat rumah individu tidak diketahui mangsa.

Beliau berkata mangsa kemudian telah diminta menyerahkan barang kemas selain mengambil wang simpanan di rumah dan bank.

“Wanita itu hanya mengesyaki dirinya dipukau setelah berada di rumahnya,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suri rumah itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.